Kapsul Penyalut Ubatan, samada keras atau lembut, boleh didapati dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz di mana ia digunakan untuk mengisi satu atau lebih bahan atau ubatan. Bahan-bahan yang terdapat di dalamnya biasanya berbentuk serbuk atau cecair seperti minyak ikan.
Kapsul penyalut ubatan sangat popular di serata dunia kerana sebagai pembawa ubatan atau bahan, ia lebih mudah ditelan. Ia digunakan di hospital-hospital, farmasi, pusat-pusat perubatan dan juga digunakan oleh pengamal perubatan herba dan tradisional.
Tapi tahukah anda bagaimana kapsul-kapsul ini diperbuat? Kapsul penyalut ubatan yang keras biasanya diperbuat daripada pewarna dan agen pengeras seperti titanium dioksida. Lebih 80% kandungan kapsul ini adalah gelatin! Gelatin ini pula didapati dari tulang-tulang atau kulit-kulit binatang seperti babi, lembu dan kerbau. Di Malaysia, hampir kesemua kapsul diimport dari luar negara seperti India, Indonesia, China, Amerika Syarikat dan banyak lagi.
Terdapat juga kapsul penyalut ubatan yang diperbuat dari ekstrak atau selulos tumbuh-tumbuhan tetapi ianya sangatlah mahal berbanding dengan kapsul yang diperbuat daripada gelatin haiwan.
Kapsul lembut pula diperbuat daripada gelatin dan glycerin. Kapsul ini juga mengandungi bahan pengawet untuk pengelakkan pertumbuhan fungi.
Kapsul lembut boleh didapati dalam bentuk bebujur, bulatan atau bebola dimana ianya digunakan untuk mengisi cecair, ampaian atau serbuk kering. Bahan-bahan yang biasanya menggunakan kapsul lembut adalah minyak ikan, minyak bawang putih, Vitamin E dan banyak lagi. Sumber gelatinnya adalah sama seperti yang diterangkan diatas.
Pengguna-pengguna Islam haruslah mengambil berat tentang sumber-sumber ini kerana ia akan menjadi darah daging kita kelak melainkan jika berlakunya darurat.
Bahan-bahan yang haram dan najis adalah dilarang digunakan sebagai ubat. Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu, di mana tidak ada bahan yang boleh dijadikan ubat bagi mengubati sesuatu penyakit, orang Islam diharuskan mengambil bahan-bahan yang haram untuk pengubatan. Pengecualian dalam hal ini berpandukan kepada nas-nas seperti berikut:
• Surah al-Baqarah ayat 172-173- bermaksud: Hai orang yang beriman, makanlah barang yang baik-baik dari apa yang diberikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. Sesungguh-nya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka barangsiapa dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melampaui batas, maka tidaklah berdosa baginya (memakan/mengguna benda-benda yang haram) kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Mengasihani
• Surah al-Anaam ayat 145 yang bermaksud: ..........Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana dharurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, sesungguhnya Tuhanmu amat pengampun, lagi amat mengasihani
• Surah al-Baqarah ayat 195- bermaksud: Jangan kamu mencampak diri kamu kepada kebinasaan
• Kaedah dalam Islam berbunyi:Keadaan terpaksa (dharurat) mengharuskan perkara-perkara yang ditegah
Pengecualian dalam penggunaan bahan-bahan haram sebagai ubat, hendaklah menepati syarat-syarat seperti berikut:
• Tidak terdapat atau sukar mendapatkan bahan yang halal untuk mengubati penyakit yang berkaitan
• Penggunaan bahan berkenaan hendaklah di bawah arahan dan nasihat doktor
• Pengambilan ubat dari bahan yang haram hendaklah sekadar yang diperlukan sahaja
Oleh itu, para pengusaha ubatan dan pengimport produk ini haruslah peka dengan keperluan orang Islam di Malaysia kerana mengikut syari’at, orang Islam tidak boleh memakan apa-apa yang bersumberkan babi atau haiwan yang tidak disembelih oleh orang Islam dan segalanya mestilah mengikut landasan Islam.Ini bersesuaian dengan kehendak Perdana Menteri kita Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Pengeluar Makanan Halal.
No comments:
Post a Comment